Saturday, July 10, 2010

Hati Yang Sihat

Assalamualaikum
Hati adalah raja kepada seluruh anggota badan. Tindakan anggota zahir melambangkan keadaan hati batin yang tidak dapat dilihat. Ada hati yang sakit, tetapi tidak disedari oleh tuannya. Bahkan ada yang sampai hatinya mati pun tuannya masih tak tahu tentang kematian tersebut ataupun tanda-tandanya.

Berikut disenaraikan sebahagian tanda hati yang hidup secara sihat. Kalau tanda ini tiada pada kita, ‘mafhum mukhalafah’nya hati kita sudah mula sakit.

1. Faham dan menghayati bahawa dunia ini adalah sebagai ladang untuk dituai hasilnya pada akhirat kelak.
Banyak orang tahu dan faham bahawa dunia ini adalah tumpangan dan akhirat kelak yang kekal abadi. Itu belum memadai jika tidak disertakan pembuktian bahawa kita tidak terjebak dengan perangkap dunia yang sentiasa mempesona. Pesanan Nabi; dunia ini indah menawan. Allah tempatkan kamu di sana supaya dia melihat bagaimana kamu beramal. Takutilah dunia dan takutilah wanita. Kerana fitnah pertama menimpa Bani Israil adalah pada wanita.

2. Rasa gelisah apabila tidak dapat menyempurnakan amalan dan wirid harian.
Sebagai muslim yang mengharapkan keredhaan Allah, setiap orang daripada kita perlu ada wirid harian yang menjadi amalannya. Sebagai contoh, membaca doa-doa yang ma’thur (sahih datangnya dari Nabi Muhammad SAW) pagi dan petang, membaca beberapa muka ayat al-Quran, beristighfar sebanyak seratus kali, berselawat ke atas Nabi SAW dsb. Ada orang menyediakan senarai semak atau muhasabah harian untuk memastikan amalan hariannya dipatuhi.

Kalau kita boleh mendisiplinkan diri kita untuk membeli dan membaca surat khabar dan menonton TV setiap hari selama berjam-jam, mengapa tidak boleh kita khususkan beberapa ketika untuk berzikir, istighfar, tilawah al-Quran dsb. kerana Allah. Perlu diingat, tidak semestinya kita duduk atas sejadah sahaja untuk zikir dan wirid tadi. Ada orang tidak sempurna harinya jika tidak membaca akhbar harian, tetapi langsung tidak tersentuh hati atau rasa bersalah jika tidak sempat membaca al-Quran. Pernah sekali saya menegur orang begini, dia menjawab; baca Quran tu bukan wajib! Subhanallah! Bukan saya nak menghukum, tetapi kita boleh soal balik; baca surat khabar tu wajib ke? Dalam masa yang sama, nilai dan hukumlah di mana letaknya diri kita sendiri?

3. Tidak reda masanya terbuang dengan perkara yang sia-sia.
Pentingnya masa sampaikan Allah bersumpah dengannya dalam al-Quran; Demi masa, demi fajar, demi dhuha, demi malam… Nabi sendiri pernah berpesan; rebutlah masa lapang sebelum datang masa sibuk. Pepatah Arab menyebut; waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak memotongnya, ia akan memotong engkau. Tidak ketinggalan juga pepatah Melayu kita; waktu itu umpama emas. Manakala mujaddid kurun kedua puluh mengingatkan; waktu itu adalah kehidupan. Maka, jika kita mensia-siakan masa yang dianugerahkan Allah, bermakna kita telah mensia-siakan kehidupan kita sendiri!
Membuang masa sama ada dengan membiarkannya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian, atau membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Sama ada manfaat dunia mahupun akhirat. Sama ada manfaat itu untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Andaikata membaca coretan ini membuang masa, tinggalkanlah. Andaikata kita menaip sesuatu yang tiada manfaat, tinggalkanlah. Kerana ia menjadi indikator kesihatan hati kita!

4. Putus hubungan dengan dunia semasa solat bahkan merasa nikmat dan rehat ketika menunaikannya.
Bila kita mengangkat takbir ‘Allahu Akbar’ kita telah mengagungkan Allah Taala dan meletakkan dunia dan isi kandungnya di belakang. Tidak dibawa sama dalam solat. Sebab itu antara adab solat ialah memastikan kita betul-betul bersedia dari segi mental dan fizikal. Makruh solat dalam keadaan makan sudah terhidang sebagaimana makruh juga solat jika menahan kencing, kentut dsb. Rasulullah SAW menjadikan solat sebagai ‘ruang rehat’ baginda ketika bersabda kepada Bilal; rehatkanlah kami (dengan solat) wahai Bilal!
Kalau kita tidak memahami makna perkataan dalam solat (walaupun dah dua puluh tahun solat!), masih sempat mencongak bajet keluarga bagi tahun 2010 dalam solat, masih sempat mencari destinasi percutian hujung tahun dsb., maka akuilah bersama bahawa hati kita masih belum sihat.

5. Tidak jemu berzikir kepada Allah dan berkhidmat kepadaNya, dan lebih suka bersahabat dengan orang yang menunjuk dan mengingatkannya kepada zikir dan khidmat tadi.
Jika kita tahu kedudukan kita sebagai hamba Allah, nescaya kita tidak akan jemu untuk berzikir kepadanya. Jika kita tahu peranan kita sebagai khalifah Allah, nescaya akan kita akan berusaha menunaikan amanah tersebut. Juga kita lebih suka mendampingi individu, majlis atau organisasi yang boleh membimbing kita berkhidmat untuk agama Allah. Kalaulah matlamat hidup kita sekadar memuji Allah, nescaya Allah tidak jadikan kita, sebab para malaikat lebih banyak zikir, tahmid dan tasbih mereka kepada Allah. Tapi Allah cipta kita berkhidmat sebagai khalifah di atas muka bumi ini, satu amanah yang amat berat. Kita tentu akan lebih cenderung mendampingi dan didampingi orang-orang yang akan membimbing, membantu dan mendorong penyempurnaan amanah tadi. Berbalik kepada tajuk, jika kita langsung tidak memikirkan tugas sebagai khalifah tadi dan berusaha menyempurnakannya, akuilah bahawa hati kita kurang sihat.

6. Tumpuan lebih diberikan kepada memperbaiki amal daripada memperbanyakkan amal.
Orang yang bijak sentiasa memuhasabah amalnya supaya diterima Allah. Bukannya banyak beramal tetapi ditolak oleh Allah. Jauh lagi, kalau hanya banyak bercakap, pandai komplen dan mempertikaikan tindakan orang lain, tapi diri sendiri tidak menyumbang apa-apa. Secara khusus, aspek yang perlu sentiasa diperbaiki ialah dari segi ikhlas, jauh dari ujub dan sum’ah, melaksanakan nasihat, muhasabah diri, ihsan dan merasa kurang dalam menunaikan hak Allah. Sebab itu ilmu dan berdamping dengan orang berilmu adalah perlu supaya amal sentiasa diterima Allah.

Moga Allah perlihatkan kelemahan diri kita sendiri supaya kita sedar dan berusaha memperbaikinya. Tidak kiralah kelemahan tersebut ditunjukkan oleh siapa, yang penting kita mengakui kelemahan diri dan membaikinya.
Salah silap saya mohon maaf dan sedia terima teguran.

Wallahu a’lam.

Saturday, July 3, 2010

Ketika Dilanda Kegelisahan

Assalamualaikum

Dalam kehidupan, tidak ada manusia yang akan aman dari masalah. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa, orang tua, apatah lagi jika menjawat jawatan sebagai ibu bapa ditambah dengan beban kerja di pejabat. Begitu juga jika terlibat dengan urusan-urusan dakwah, hidup tidak akan pernah sunyi dari cabaran dan dugaan. Kecil, besar semuanya akan diuji mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Ketika merasa resah gelisah, ditimpa pelbagai masalah hingga stress, amalkanlah doa ini dengan penuh penghayatan, kerana hanya Dialah yang mampu memberi ketenangan kepada hati-hati manusia.




Doa ini membicarakan tentang sifat-sifat yang ada dalam diri manusia dan punca-punca besar yang menyebabkan manusia ditimpa stress.

Rasa sedih adalah satu perasaan yang kita rasai tatkala musibah melanda. Tidak kira sama ada musibah itu adalah musibah kehilangan jiwa atau kehilangan harta. Rasa gelisah pula adalah kerisauan kita terhadap sesuatu yang belum terjadi, sebagai contoh, gelisah ketika ingin menduduki peperiksaan, gelisah menunggu keputusan peperiksaan, gelisah sebelum temuduga pekerjaan dan mungkin gelisah ketika sebelum akad nikah!

Sifat pengecut adalah sifat yang menghalang kita dari maju ke hadapan akibat ketakutan kita terhadap perkara-perkara tertentu dalam hidup. Contohnya takut untuk memperkatakan kebenaran dan menegur kemungkaran, takut untuk berhijrah demi kebaikan dan mungkin takut hantu juga!

Sifat bakhil pula adalah satu sifat yang menjadikan kita manusia yang meletakkan kepentingan diri melebihi segala-galanya. Bakhil untuk bersedekah kerana takut wang simpanan akan susut, bakhil untuk membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan, walaupun hanya dengan menghulurkan tangan dan memberikan senyuman yang manis.

Manusia juga akan berada di dalam stress apabila berada dalam cengkaman hutang yang seolahnya tiada hujung pangkal. Selepas tamat pengajian telah berhutang dengan PTPTN, kemudian ditambah dengan hutang perkahwinan dengan biro angkasa, ditambah dengan hutang kad kredit, kereta dan rumah. Hutang-hutang yang bertimbun ini boleh menyesakkan nafas sesiapa sahaja yang menanggungnya.

Manakala akhir sekali adalah ancaman penindasan dari manusia lain. Sama ada ditindas di pejabat atau ditindas oleh pemerintah atau ditindas oleh kuasa-kuasa besar yang mengancam kedaulatan negara. Manusia tidak akan tenang apabila mengetahui dirinya sentiasa di bawah cengkaman manusia-manusia yang zalim.

Maha suci Allah, hanya Dia yang mengetahui segala yang terbuku di hati manusia, zahir dan batin. Ketika harapan seakan telah padam, maka hanya kepada Dia kita memohon pergantungan, tatkala tiada manusia yang mahu mendengar rintihan, Allah sentiasa cinta kepada doa hamba-hambaNya yang tulus dari hati yang ikhlas dan penuh pengharapan.

Amalkanlah doa ini dalam kehidupan, moga kehidupan kita akan lebih tenang dan bahagia, walau apa jua badai yang melanda.
Kerana daripadaNya jua sumber kesejahteraan bagi setiap manusia.

Wassalam

Wednesday, June 30, 2010

Harga Diri

Assalamualaikum

Pandangan kita terhadap diri kita jauh lebih penting dari pandangan orang lain terhadap diri kita. Harga diri atau Self Esteem adalah pandangan seseorang pada dirinya , tentang kemampuannya, kebolehannya untuk berjaya dalam kehidupan. Orang yang mempunyai harga diri yang rendah sentiasa memandang dirinya tidak tahu, tidak mampu dan tidak boleh melakukan pekerjaan. Justeru itu ramai yang tidak berjaya sebab mereka mementingkan pandangan orang lain terhadap dirinya daripada pandangan dirinya sendiri.

Kita mesti memandang harga diri kita tinggi supaya kita memandang harga diri orang lain juga tinggi. Orang yang merasa harga dirinya tinggi akan melahirkan:

1. Rasa selesa dengan dirinya. Walaupun mulut tak secantik buah delima tapi akan menggunakan mulut untuk berkata yang baik saja. Walaupun rendah secara fizikal tapi mahu tinggi pada penilaian Allah.

2. Percakapan dengan diri sendiri (Self talk) sentiasa positive. 90 % dari orang yang rendah harga diri yang mempunyai self talk yang negative, susah, malu,tak boleh buat dan lain lain lagi. Musuhnya adalah dirinya sendiri. Kegagalan adalah datang dari dirinya sendiri.

3. Always feel good, produce good quality output. Sesuatu kerja yang baik dihasilkan ketika kita dalam keceriaan, tidak dapat dihasilkan ketika kita dalam stress.

Mungkin kita ada memperlekehkan, memandang rendah pada kawan kita, ketahuilah sebenarnya diri kitalah yang rendah pada ketika itu.

Sifat takbur dan perasaan harga diri yang tinggi adalah tidak sama. Sifat takbur merasa diri tinggi tapi memandang rendah pada orang lain. Berbeza dengan perasaan tinggi harga diri yang merasa dirinya tinggi dan memandang orang lain pun tinggi. Apabila kita menghormati orang lain akan mewujudkan interaksi yang harmoni dan seterusnya menghasilkan kejayaan.

Jangan kita bimbang jika kita tidak dihargai, kerana kita tahu kita mempunyai harga diri yang tinggi. Semoga hidup kita ceria dan menyumbang yang terbaik kepada masyarakat.

Wassalam

Friday, June 25, 2010

Mencari Kemaafan

Assalamualaikum

Fitrah Insani
Setiap orang mudah melakukan kesalahan. Tidak kira kesalahan itu kecil atau besar, seorang manusia lebih-lebih lagi seorang remaja akan mudah membuat kesilapan dalam bertatih di alam kehidupan ini. Sedar tidak sedar, jika dikira satu persatu kesalahan yang kita lakukan, boleh kalah ketebalan yellow pages. Bahkan boleh dilistkan dan dikategorikan kesalahan kita, setiap tahun, setiap bulan, setiap hari, setiap jam… setiap detik mungkin.

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.

Itulah manusia, mudah terpikat dengan hawa nafsu dan tak lari daripada maksiat.

Kisah Agung Antara 2 Sahabat
Di dalam riwayat pernah diceritakan, Abu Zar r.a memanggil Bilal r.a dengan gelaran “wahai anak hitam”. Bilal r.a yang mendengar panggilan tersebut terdiam dan tidak membalas panggilan Abu Zar r.a itu. Dengan rasa kesal Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah untuk mengadukan hal tersebut. Tiba di rumah Rasulullah, Bilal r.a meluahkan isi hatinya pada Rasulullah. Seketika sahaja, berubah wajah Rasulullah menjadi merah padam. Rasullah terus ke tempat Abu Zar berada, tetapi hanya lalu sahaja. Rasulullah terus ke masjid.
Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya, lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina Bilal dan menghina asal usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal usulnya adalah orang jahiliyah sebelum masuk Islam, dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa-sisa jahiliyyah”.
Abu Zar r.a merasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu pada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan pintalah Allah ampunan atas doaku…” . Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal r.a, Abu Zar merangkul Bilal sambil memohon maaf padanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata “Demi Allah wahai Bilal aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu injak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.
Apakah yang berlaku selepas itu ? Anda teka…

Nilai Agung Pada 2 Sahabat
Bilal kemudiannya mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkatnya dari tanah. Mereka berdua berpelukan dengan penuh kasih sayang dan tangisan.
Lihat ukhuwwah yang terjalin dan nilai akhlak pada Bilal r.a dan Abu Zar r.a. Bukan hanya betapa merendah diri Abu Zar memohon kemaafan, bahkan betapa mulia dan kasihnya Bilal r.a, walaupun diperlakukan sebegitu, atas rasa kasih dan sayang pada Abu Zar, Bilal memaafkannya.

Warna-warni Hari Ini
Kita lihat bukan sahaja orang yang melakukan kesalahan sahaja tidak prihatin untuk meminta maaf jika berbuat kesalahan. Lebih menyedihkan lagi, kita sendiri pun sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Bila ditegur dan dinasihati orang yang berbuat salah, tanpa ada rasa kasih dan sayang di dalam diri kita. Hampir semua keburukan orang yang bersalah menyilau di mata kita, tanpa berfikiran positif dan optimis.

Nikmat Ukhuwwah Bukan Saja-saja
Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan, cepat-cepat meminta maaf. Akui kesalahan dan azamkan tidak akan diulang. Juga buat mereka yang ada yang melakukan kesalahan padanya, rendah diri dan maafkanlah dia. Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma. Hanya yang ikhlas dan berkehendak sahaja akan Allah ganjari.

Rahsia seorang sahabat kepada Abdullah bin Umar r.a ketika mencari kelebihan seorang sahabat yang Rasulullah sebut jaminan syurga padanya.
“Sesungguhnya, sebelum aku tidur, aku akan memaafkan segala dosa seluruh manusia, sama ada yang menghinaku, mencaciku, memburuk-burukkan diriku, memfitnahku dan mengata tentang diriku. Maka aku mohon dari Allah agar dimaafkan segala dosa mereka.”

Mohonlah kemaafan pada mereka yang kita lakukan kesalahan dan sudilah memaafkan orang lain sebelum Allah tarik nikmat-nikmatnya yang lain.

Wassalam

Sunday, May 30, 2010

Manusia Menjadi Mulia

Assalamualaikum

Manusia menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran boleh membawa kerosakan bukan saja pada diri, juga mereka di sekeliling.

Akal manusia menjadikannya makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.

Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam.

Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal salih. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus."

Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal. Kecantikan dan keindahan insan kerana akhlaknya yang baik dan bertepatan dengan kehendak agama.

Akhlak Islam mesti bersumberkan wahyu al-Quran dan sunnah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Agama itu adalah akhlak yang baik."

Jelaslah, kedudukan akhlak seseorang menggambarkan kedudukan iman dan pegangan agama sama ada terbukti kukuh atau tidak. Dalam Islam, akhlak yang baik mencerminkan penghayatan seseorang terhadap ajaran agama.

Nabi SAW berpesan dalam sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang paling baik akhlaknya ialah yang paling baik agamanya."

Ini menunjukkan akhlak adalah roh kepada agama. Roh akhlak meliputi semua aspek kehidupan sama ada akidah, keimanan, ibadah dan muamalah. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akal dijaga supaya manusia berada pada taraf yang tinggi.

Manusia mesti kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya. Manusia tidak akan sempurna setakat mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang bersifat keduniaan tetapi tiada keimanan teguh terhadap Allah. Kepercayaan dan keimanan kepada Allah menjadi paksi segala kesedaran yang akan mendorong manusia melakukan amalan baik seperti dituntut Allah.

Pada masa sama, manusia akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, ia bukan sekadar ucapan tetapi diterjemahkan melalui perbuatan kerana kita dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa yang dilakukan di dunia.

Oleh sebab pentingnya akal, sepatutnya kita menggunakan ia untuk tujuan kebaikan. Jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan pelbagai kejahatan lain, ingatlah Allah tetap memerhatikannya dan memberi hukuman setimpal.

Apa juga yang kita lakukan adalah hasil pemikiran akal. Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika kita tersalah langkah kerana hak menentukan perjalanan hidup terletak seratus peratus di tangan sendiri. Memang hidup sudah ditentukan Allah, tetapi kita perlu berusaha sebelum bertawakal kepada-Nya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan akal yang dimiliki dapat membawa kepada keredaan Allah. Hanya dengan keimanan kepada Allah yang dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa kemurkaan.

Gunakan akal kurniaan Allah untuk mencapai kejayaan serta keredaan-Nya bukan mencari sebab untuk dimurkai. Oleh itu, sentiasalah mengharapkan apa yang kita lakukan dapat memberi kebaikan untuk di dunia dan akhirat.

Wassalam

Thursday, April 1, 2010

Kedasyatan Gema Zikir

Assalamualaikum

“Maka, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (QS Al-Baqarah : 152)
Zikir adalah tali perhubungan antara Allah dengan seorang hamba.
Barang siapa yang mengingati Allah maka Allah akan mengingatinya.

Barang siapa yang melupakan Allah maka Allah juga akan :
1. Melupakannya.
2. Membiarkannya larut, hanyut dan tenggelam dalam kealpaan yang panjang.
3. Membiarkannya larut dalam kegelapan hati dan kekeruhan ruhani.
4. Membiarkannya hanyut dalam kekerasan hati dan ketulian kalbu.
Kita perlu mengingati Allah kerana kita memang memerlukanNya. Allah tidak perlu agar kita mengingatiNya tetapi kitalah yang berhajat kepadaNya. Mengingati Allah adalah refleksi syukur kita sedangkan melupakanNya adalah ungkapan nyata kekufuran kita.

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (QS Ali Imran : 135)
Setiap kita pasti tidak terlepas dari kealpaan dan setiap kita juga pasti pernah lalai kerana ianya adalah sebagai sifat dasar yang melekat dalam diri kita masing-masing.

Namun sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah yang segera kembali ke akar penciptaannya dan akar fitrah yang juga melekat pada dirinya.

Segeralah :
1. Zikir dan ingat pada Allah.
2. Memohon ampunanNya.
3. Mengemis belas kasihNya.
4. Meratapi dosa-dosa di depan kasih sayang-Nya.
Ini adalah kerana kita perlu sedar bahwa hanya Allah yang Maha Lapang rahmatNya, Yang Maha Kasih. RahmatNya lebih luas daripada kemurkaanNya, rahmatNya mengalahkan murka-Nya.

“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS Ali Imran : 191)
Orang-orang yang berakal akan sentiasa :
1. Mengingati Allah.
2. Merapatkan diri ke hadratNya.
3. MerindukanNya.
4. Merasa asyik bersamaNya.

Dia akan sentiasa ingat dan zikir kepada Allah dalam segala keadaaanya, dalam segala hal dan waktunya, seluruh lorong waktunya terasa dengan zikir padaNya.
Ketika berdiri dia ingat Allah, saat duduk dia ingat Allah, saat berbaringpun dia ingat Allah. Dia dekat dengan Allah, dengan asma’-asma’Nya, dengan kekuasaanNya, dengan kehendak dan iradahNya. BagiNya, Allah adalah segalaNya, di atas segala cintanya, termasuk terhadap dirinya sendiri.

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.” (QS An-Nisaa' : 142)

Perkara yang sebaliknya berlaku kepada para munafik yang hanya mengingati Allah dengan kadar yang sangat sedikit, kalaupun dia mengingati Allah maka dia akan lakukan ketika berada di tengah khalayak manusia kerana ingin mendapat puji-pujian dan penghargaan dari tindakannya.

Namun hatinya sepi dari zikir yang hakiki, nuraninya kosong dari zikir hakiki. Berdirinya adalah kemalasan dalam mengingati Allah, solatnya dilakukan dengan rasa keterpaksaan dan berat. Dia bukan ingin pujian dari Allah namun ingin pujian dari manusia. Riya' menjadi selimut jiwanya sehingga manusiapun dapat merasakannya.

Radar keimanan orang yang bertakwa akan sentiasa bergetar kuat manakala ada :
1. Bisikan jahat yang akan menghancurkan dirinya.
2. Menenggelamkan dirinya dalam maksiat kepada Allah.

Radar keimanan yang sedemikian aktif menyantap “virus-virus” jahat yang mungkin menjangkiti dirinya. Radar keimanannya menyala tatkala ada serbuk dosa ditebarkan untuk meracuninya.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan nya.” (QS Al-A'raf : 201)

Kejernihan hatinya mampu :
1. Menyingkap kesalahan apa yang dia lakukan ketika itu.
2. Membetulkan kekeliruan apa yang sedang mengintai dirinya.
3. Mengenalpasti kejahatan apa yang sedang dipanahkan kepadanya.
Nuraninya menjadi begitu tajam berkat zikirnya yang selama ini dia panjatkan kepada Allah swt.

“Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (QS Al-A'raaf : 205)

Manusia yang bertakwa akan sentiasa berzikir dalam hatinya dengan :
1. Perasaan rendah diri.
2. Perasaan yang tidak berdaya di hadapanNya.
3. Perasaan takut menyelimuti jiwanya.
Suaranya rendah dalam gema zikirnya yang menyala dalam hatinya di pagi hari dan petang, di ubun-ubun siang dan di jantung malam. Gema zikirnya membumbung tinggi menyentuh Arash Ar Rahman.

Suara sunyinya sedemikian lantang di tengah para malaikat dan sedemikian nyaring di tengah gemuruh tasbih malaikat yang mengelilingi Baitul Makmur.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemnetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (QS Al-Anfaal : 2)

Gementar hati mereka manakala nama Allah disebut, zikir segera meluncur dari mulutnya membasahi lidahnya dan memenuhi dadanya. Iman mereka melonjak tatkala ayat-ayat Allah dikumandangkan dan dialunkan. Tawakkal menjadi hiasan hidupnya, memagari setiap gerakannya.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (QS Ar-Ra'd : 27)
Dalam zikir mereka ada taubat yang muncul kerana keimanannya kepada Allah. Hati mereka merasa damai, tenteram dan lembut dalam derasnya zikir yang mengalir dari samudera keimanannya. Ketenteraman menghiasi hidupnya, melitupi ruang jiwanya, mengisi kekosongan hatinya. Dia damai dalam zikirnya. Tenteram saat mengingati Allah.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (QS Al-Kahfi : 28)
Manusia yang sering berpaling pada dunia, mabuk di dalamnya, hanyut di bawa arusnya kerana zikir tidak mengalir deras dari hatinya melalui gelombang lisannya.
Manusia akan silau dengan dunia apabila zikir menjadi sepi dari bibirnya.

Maka orang-orang bertakwa akan sentiasa memilih teman dan kawan yang sentiasa menyeru Tuhannya pagi dan petang kerana dia sedar bahwa teman yang baik akan :
1. Menghantarkannya pada kebaikan.
2. Menggiringnya menuju syurga Tuhan.
3. Menghindarkannya dari godaaan syaitan.
4. Menghindarkannya dari neraka Jahannam.

Kecerdasan memilih teman akan menyelamatkannya manakala kelalaian dalam berteman akan mencelakakannya.

“laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan solat, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.” (QS An-Nuur : 37)

Manusia yang berzikir tidak akan pernah dilalaikan oleh :
1. Perniagaan mereka.
2. Jawatan mereka.
3. Tugas-tugas harian mereka.
4. Anak-anak mereka.
5. Harta-harta mereka.

Ini adalah kerana dia telah :
a. Mengikatkan dirinya dengan langit.
b. Menyambungkan jiwa dengan Penguasa langit dan bumi.

Jiwanya sentiasa mempersiapkan diri untuk suatu "Pertemuan Besar" di Padang Mahsyar tatkala semua :
a. Perbuatannya akan ditanya.
b. Ucapannya akan dipersoalkan.
c. Tindakannya akan diminta pertanggungjawaban.
ketika hati mengalami goncangan yang besar dan saat jiwa dirasuki ketakutan.
‘Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzaab : 21)
Manusia yang berzikir akan mampu meneladani Rasulullah saw dalam semua :
1. Tingkah lakunya.
2. Derap langkahnya.
3. Paradigma berfikirnya.

Rasulullah saw menjadi idolanya serta kiblat perilaku moralnya kerana dia sentiasa mengingati Allah dan zikir sentiasa berkobar menyala di jantung hatinya.
Dia akan sentiasa ingat firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.” (QS Al-Ahzaab : 41)

Dia sentiasa mampu memperbesarkan gelombang zikirnya dalam suasana :
1. Sepi dan ramai.
2. Suka dan duka.
3. Susah dan senang.
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al Qur'an yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki- Nya. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.” (QS Az-Zumar : 23)

Kulit manusia yang berzikir akan bergetar apabila ayat-ayat Allah yang mulia itu :
a. Dikumandangkan.
b. Dialunkan.
c. Dilantunkan.

Namun tenanglah mereka di saat mengingati Allah.
Kitab Allah yang melahirkan kedamaian, ketenangan dan kesejukan jiwa serta ubat bagi para pembacanya. Jiwa raga yang diselimuti Al Qur’an akan terasa sedemikian kuat, kukuh dan teguh kerana mata air hikmahnya mengandungi ubat mujarab yang memberikan ketenangan.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (QS Al-Munafiqun : 9)

Kerugian akan menimpa manusia-manusia yang lupa Allah kerana anak-anak mereka.
Kerugian akan menimpa manusia-manusia yang tidak menjadikan zikir sebagai agenda hidupnya.

Allah swt memperingatkan orang-orang beriman agar mereka tidak lupa kepada Allah
gara-gara anak-anak mereka dan limpahan harta mereka.
Allah memperingatkan perkara ini kerana harta itu sering menarik kepada tindakan yang melupakan Allah dan anak-anak sering pula melalaikan kita daripada mengingati Allah.

“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepadaNya dengan penuh ketekunan.” (QS Al-Muzzammil : 8)

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang.”(QS Al-Insaan : 29)

Mari kita gemakan zikir kita :
1. Di nafas subuh.
2. Di ubun siang.
3. Di remang senja.
4. Di jantung malam.

Kerana dalam zikir itu ada banyak manfaat :
Zikir kita akan :
a. Mengusir, melindungi diri dan menghancurkan syaitan.
b. Membuat Allah ridha dan syaitan murka.
c. Menghilangkan kerisauan, gelisah, gundah gulana dan menghadirkan ketenangan.

Dengan zikir :
a. Segala keburukan akan menghilang.
b. Kalbu menjadi kuat.
c. Badan menjadi sihat.
d. Dapat memperbaiki yang lahir dan batin.
e. Wajah terang dan bersinar.
f. Rezeki menjadi mudah.
g. Ada kewibawaan yang mengelilingi dirinya.
h. Ada ketenangan yang menjalar di segala arah.

Dalam gema zikir :
a. Istiqamah akan kukuh.
b. Kebenaran akan menghampiri.
c. Muraqabah akan tinggi.
d. Ihsan akan terangkul.
e. Iman akan meneguh.
f. Taubat terus menjalar.
g. Inabah akan merayap.
h. Taqarrub menjadi mudah.
i. Makrifat menjadi terbuka.
j. Khashyah akan berkilauan.

Zikir adalah makanan ruhani sebagaimana zat makanan adalah makanan bagi tubuh.
Ia adalah :
1. Pembersih jiwa.
2. Penjernih hati.
3. Pengusir lalai.
4. Penakluk syahwat.
5. Cahaya bagi kegelapan jiwa.
6. Pelebur dosa.
7. Pelenyap duka nestapa.

Gema zikir akan mendatangkan sakinah, malaikat akan menaungi dengan sayap-sayap yang terbentang. Ia akan membuatkan teman duduknya tenteram. Ia adalah tanaman syurga yang akan dipetik oleh orang yang rajin menyiramnya.
Gema zikir mencegah kelupaan dan mengatasi kelalaian. Hatinya sentiasa menatap akhirat dan mengabaikan dunia. Ia adalah asas dan puncak syukur.
Zikir adalah api yang aktif bekerja melenyapkan sisa-sisa dosa kita serta menghilangkan noda-noda kejahatan kita. Gunung, langit, bumi dan alam semesta selain syaitan durjana bangga dengan zikir-zikir manusia.

Dalam gema zikir ada :
a. Kelazatan yang luar biasa.
b. Kenikmatan yang tiada tara .

Gema zikir yang terus menyala yang akan menjadi saksi bahwa kita benar-benar mencintai Yang Maha Kuasa. Dalam kobarannya, kita masuk dengan damai dan tenteram bersama Allah swt.

Ya Allah, sesungguhnya kami memahami bahwa dunia ini terkutuk dan terkutuk apa-apa yang ada di dalamnya, kecuali mengingati Allah dan apa-apa yang menyertainya serta penyebar ilmu dan penuntut ilmu. Maka jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa berzikir dan mengingatiMu dalam apa keadaan dan suasana sekalipun kerana semua makhluk ciptaanMu kecuali syaitan tidak pernah lalai dan leka dari berzikir mensucikanMu, memujiMu, membesarkanMu dan mengesakanMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Monday, March 1, 2010

Wakaf

Assalamualaikum

Dalam menempuh kehidupan dunia, kita begitu ghairah memburu kejayaan dan kekayaan. Usaha meningkatkan taraf ekonomi diri itu memang dituntut namun persoalannya, ramai yang terlalu 'berkira', materialistik dan mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira kesusahan orang lain.

BINA MASJID...wakaf dikira sebagai amal ibadat yang pahalanya akan dinikmati secara berterusan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. -
BESAR MANFAAT....pemilikan harta seperti tanah yang luas boleh diwakafkan untuk dijadikan kawasan perkuburan.

Menerima amat mudah tetapi bagaimana untuk memberi terutama sesuatu benda yang kita sayang.

Untuk menginfakkan harta atau mewakafkan harta benda, ganjarannya amat besar tetapi berapa ramai yang sanggup melakukan amalan mulia itu.
Kebanyakan kita apabila memberikan sesuatu mereka mahukan balasan atau imbuhan tetapi dalam Islam, pahala atau sahamnya hanya diterima di akhirat kelak.
Memang sukar untuk menerima sesuatu yang tidak nampak tetapi jika mereka percaya bahawa pemberian mereka sama ada harta atau wakaf itu akan berkekalan, pasti mereka sanggup melakukannya.

Jadi, salah satu usaha umat Islam untuk terus berbakti kepada sesiapa saja melalui ibadah wakaf.

Ibadah wakaf menuntut 'kerelaan' individu atau keluarga untuk memindahkan harta milik mereka kepada pihak lain yang dilihat sumbangan besar di sisi syariat.
Firman Allah yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali-Imran ayat 92).

Menerusi wakaf, umat Islam dapat menjalankan perintah Allah dengan memindahkan sebahagian kecil harta kesayangannya itu kepada orang lain.
Wakaf adalah salah satu cabang undang-undang Islam yang amat penting kerana ia mempunyai pertalian antara hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.

Wakaf bermula sejak zaman sebelum Rasulullah. Ia adalah amalan yang dituntut kerana ia memainkan peranan penting mengatasi masalah kemiskinan.

Ia termasuk dalam kategori sedekah jariah yang membolehkan seseorang seseorang memperoleh pahala secara 'berkekalan' selagi ia terus dimanfaatkan penerima wakaf.
Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan ada tiga perkara (yang tidak terputus); iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan ibu bapanya". (Hadis riwayat Muslim).

Kita sering mendengar individu yang bergelar hartawan mewakafkan hartanya seperti tanah, sekolah, rumah anak yatim atau asrama bagi pelajar menimba ilmu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

"Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang dibelanjakannya itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita". (Surah al-Baqarah 261 hingga 262).

Pada zaman moden ini, manfaat yang boleh disalurkan untuk kebajikan bagi dinikmati masyarakat boleh diperoleh daripada pelbagai sumber.

Malah, di peringkat global, wakaf mampu membantu menangani krisis ekonomi yang membelenggu dunia.

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lainnya." (Ungkapan hikmah Nabi Muhammad riwayat Bukhari dan Muslim).

Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu nampakkan sedekah itu, maka itulah sebaik-baiknya, dan jika kamu sembunyikan dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka itulah yang lebih baik bagimu dan Dia akan menutupi kesalahanmu, dan Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan". (Surah al-Baqarah ayat 271).

Selain itu, menerusi firman Allah di dalam Surah at-Taghaabun ayat 16 yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah sekadar tenagamu dan dengarkan dan ikutlah dan berdermalah, nescaya lebih baik bagi dirimu. Barang siapa yang memelihara dirinya dari kebakhilan, maka merekalah yang menang."

Kisah lain juga ada menyebut daripada Saad bin Ubaidah r.a bahawa dia bertanya kepada Rasulullah yang bermaksud: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Ummu Saad telah mati; maka apakah sedekah yang paling banyak pahalanya?" Baginda menjawab: "Air", kemudian Saad menggali perigi dan katanya: "Perigi ini pahalanya bagi Ummu Saad."
Daripada hadis berkenaan, sahabat berlumba-lumba melakukan sedekah jariah iaitu dengan wakaf yang berkekalan pahalanya sebagai menyahut seruan Allah.

Harta wakaf pada prinsipnya tidak boleh dijual, dibeli, digadaikan, dipusakai atau dihadiahkan kerana ia akan menghilangkan kewakafannya.

Apabila pewakafnya meninggal dunia, ia tidak boleh dijadikan warisan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya harta wakaf itu tidak boleh dijual belikan dan dialihkan serta diwarisi, dan bersedekahlah dengannya kepada fakir miskin serta sanak keluarga dan orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu, tidaklah mengapa bagi yang mengurusnya untuk memakan hasilnya dengan ala kadarnya serta tidak pula menjadikannya milik peribadinya."

"Tamadun terdahulu membuktikan kejayaan yang dibina melalui instrumen kewangan Islam ini amat membanggakan.

"Matlamat kita hidup di dunia ini untuk mendapat keredaan serta keberkatan daripada Allah. Malah, Allah s.w.t menjanjikan nikmat serta ganjaran yang amat besar kepada mereka yang mampu berbakti kepada orang lain," katanya.

Wakaf terbahagi kepada dua iaitu wakaf ahli (wakaf keluarga) dan wakaf khairi.
"Wakaf ahli adalah manfaat kepada ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf manakala wakaf khairi adalah wakaf kebajikan).

"Wakaf khairi pula terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am diwujudkan pewakaf bagi manfaat keseluruhan umat Islam mengikut hukum syarak. Contohnya, kemudahan atau pembangunan ekonomi umat Islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan berasaskan hukum syarak," katanya.

"Contohnya jika seseorang itu mempunyai tanah, maka tanah berkenaan untuk kebajikan umat Islam secara keseluruhannya tanpa menetapkan cadangan untuk tujuan sesuatu.
Secara rasionalnya jika dia menetapkan untuk mewakafkan tanah berkenaan untuk membina masjid tetapi dalam kawasan terbabit sudah pun ada beberapa masjid, maka eloklah wakaf berkenaan dilakukan secara wakaf am. Jadi, tanah berkenaan boleh digunakan untuk kepentingan lain seperti membina sekolah agama, rumah anak yatim atau premis perniagaan.

Wassalam